Jika matlamat anda untuk kerukunan rumahtangga yang berpanjangan, pastikan anda memainkan peranan penting dalam perhubungan sama ada baik atau buruk. Saat anda bertanggungjawab dalam peranan tersebut, anda pasti mampu melestarikan hubungan dengan pasangan dalam cara yang matang dan penuh keintiman.
 
Namun, andai anda masih kurang yakin, kami bawakan 25 tip untuk anda amalkan.
1. Kajian membuktikan bahawa sentuhan kulit boleh mewujudkan jalinan yang lebih erat kerana tubuh merembeskan hormon ‘oxytocin’. Lakukan lah apa sahaja yang boleh membuatkan anda bersentuh kulit dengan pasangan seperti berpegangan tangan, gosokan lembut di bahu, pelukan dan ciuman.
2. Belajar untuk menerima perbezaan pasangan terutamanya jika dia tidak sependapat dengan anda dalam hal-hal tertentu.
3. Ambil waktu untuk menghargai pasangan bukan sekadar dengan hadiah tetapi dengan ingatan yang tulus ikhlas. Selitkan nota-nota cinta untuk si dia sebagai kejutan yang manis. Pasti si dia akan mengukir senyuman sepanjang hari.
4. Untuk suami – dengarkan luahan rasa si isteri. Untuk si isteri pula – berikan sedikit ruang dan masa peribadi untuk suami anda.
5. Jangan cuba untuk mengubah pasangan anda. Terima setiap kelebihan dan kekurangannya. Belajar untuk bertolenrasi.
6. Prihatin pada setiap masalah terutamanya masalah di bilik tidur. Cubalah sedaya upaya untuk mencegah dan menyelesaikan masalah walaupun dengan cara yang paling tidak munasabah.
7. Sentiasa berlaku adil terutamanya dalam menguruskan hal rumah tangga seperti kerja rumah, menjaga anak-anak, hal-hal kewangan dan keperluan masing-masing.
8. Tiada yang lebih penting dalam perkahwinan selain daripada hubungan mesra antara suami dan isteri. Pastikan hubungan suami isteri menjadi keutamaan.
9. Fokuskan kepada cara terbaik untuk melayan pasangan dengan baik dan mesra. Anda juga akan mendapat layanan yang sama.
10. Jangan mulakan ayat dengan menyebut ‘awak’ tetapi lebihkan ‘saya’. Berkongsi perasaan anda dan bukannya pandangan anda.
11. Jangan mudah menyalahkan dan mengkritik pasangan. Ia terapi terbaik untuk diri anda juga.
12. Teruskan acara ‘dating’. Janganlah kerana sudah tinggal sebumbung, anda lupa untuk berdua-duaan dengan pasangan. Tetapkan waktu atau hari untuk keluar ‘dating’ sebagai mengingati momen-momen mesra semasa berpacaran.
13. Peruntukkan waktu walau sekejap untuk bercerita tentang diri anda berdua seperti saat bercinta. Elakkan bercakap tentang anak, keluarga dan kerja.
14. Sayangi perkahwinan anda dengan mengutamakan kesihatan diri dahulu. Jika anda sihat, pasangan anda juga akan sihat dan gembira. Pastinya anda boleh menjaga keharmonian dan kesejahteraan rumah tangga.
15. Anda adalah cermin pasangan anda. Apa sahaja yang anda lakukan akan memberikan impak pada pasangan.
16. Dengan rutin seharian yang sibuk, sedikit sebanyak akan menjejaskan hubungan anda dan pasangan. Peruntukkan masa untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama.
17. Buat senarai saat-saat indah bersama. Peruntukkan beberapa minit setiap hari untuk mengingati saat-saat itu. Anda pasti terkejut dengan hasilnya.
18. Sentiasa ucapkan sayang dan cinta kepada pasangan untuk menyemarakkan lagi perhubungan. Minta maaf jika anda berbuat salah dan maafkan pasangan jika dia pula yang bersalah.
19. Hargai pasangan anda sekurang-kurangnya lima kali sehari dengan penuh keikhlasan. Pelbagai cara boleh anda lakukan. Gunakan kreativiti anda!
20. Komunikasi dan masa adalah elemen terpenting dalam perhubungan.
21. Hormat pasangan anda dan sentiasa berlembut dalam perbualan. Bercakap kasar dengan pasangan umpama memicit ubat gigi, sekali sudah terkeluar, tidak mungkin boleh dimasukkan semula.
22. Pastikan anda bercakap dengan pasangan anda walaupun sekadar 10 minit sehari. Lakukan semasa makan malam, sebelum tidur atau bila-bila masa sahaja asalkan ia konsisten setiap hari.
23. Cara terbaik untuk mengeratkan perhubungan ialah dengan sokongan dan saling membantu. Ikatan perkahwinan yang kuat apabila kedua-duanya saling memahami keperluan masing-masing.
24. Rasa cinta sudah mula pudar? Atasinya dengan 1: tuliskan 10 kualiti yang anda suka pada pasangan anda ketika mula-mula berkenalan. 2: senaraikan 10 aktiviti seronok yang anda lakukan bersama ketika bercinta – lakukan satu persatu setiap minggu dan bawa kembali keseronokan itu.
25. Anda berhak untuk berasa ‘moody’ tetapi anda tidak berhak untuk melepaskannya kepada pasangan anda. Cari masa bersendirian untuk menenangkan diri.