(Source: Kak Engku Bidan Bersalin )
Mengetahui bahawa puan hamil adalah saat yang amat menggembirakan bagi puan, suami dan keluarga. Walau bagaimanapun, puan mungkin mempunyai pengalaman dan masalah yang bebeza dengan wanita lain semasa hamil. Jadi, pelbagai persoalan yang bermain di fikiran puan, sama ada pertama kali atau sudah berpengalaman. Oleh sebab itulah, nasihat dan petunjuk sentiasa diharapkan bagi melahirkan bayi yang sihat dengan selamat.
Tanda Awal Kehamilan
Adakah saya hamil?
Terdapat beberapa tanda awal yang menunjukkan puan hamil iaitu:
~ Tidak datang haid
~ Loya dan muntah
~ Sentiasa lapar
~ Kerap buang air kecil
~ Letih lesu
~ Sakit dan tegang pada payudara
~ Perubahan emosi
~ Rasa hendak demam
Kalau saya mengalami tanda-tanda awal kehamilan, apa yang patut saya lakukan?
Jika puan mengalami tanda-tanda awal kehamilan:
~ Segera ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan.
~ Sekiranya disahkan hamil, puan perlu menjalani pemeriksaan secara berjadual di klinik kesihatan atau klinik / hospital swasta secepat mungkin.
Perubahan Fizikal
Boleh ke perubahan fizikal terjadi kepada saya?
~ Warna pada sekeliling puting payudara menjadi lebih gelap
~ Timbul garisan tegak berwarna gelap pada perut (linea nigra)
~ Lain-lain seperti kulit kelihatan gelap, jerawat dan rambut kelihatan lebat.
Perubahan ini hanyalah sementara dan tidak membahayakan. Ia akan hilang selepas puan bersalin.
Pemeriksaan Kehamilan Secara Berjadual (Antenatal)
1. Di mana saya boleh buat pemeriksaan kehamilan (antenatal)?
Puan boleh buat pemeriksaan kehamilan di klinik kesihatan, klinik desa, atau klinik / hospital swasta terdekat. Puan mesti hadir ke klinik mengikut tarikh yang ditetapkan oleh anggota kesihatan.
2. Bila masa yang sesuai untuk saya mula pergi ke klinik bagi pemeriksaan kehamilan?
Puan perlu hadir ke klinik seawal mungkin.
3. Perlu ke saya pergi ke klinik?
Puan perlu hadir ke klinik seawal mungkin sebelum usia kandungan mencapai 12 minggu untu:
~ menilai tahap kesihatan.
~ menjalankan ujian saringan penyakit yang boleh menjejaskan pertumbuhan bayi.
~ diberi suplemen yang sesuai atau vitamin.
~ diberi pendidikan kesihatan.
~ pengesahan awal masalah kesihatan untuk membolehkan puan dirujuk kepada pakar.
4. Mengapa saya perlu jalani pemeriksaan kehamilan secara berjadual?
Pemeriksaan kehamilan perlu dilakukan secara berjadual untuk mengetahui tahap kesihatan ibu dan janin (bayi dalam kandungan).
5. Doktor beritahu ke setiap hasil pemeriksaan kehamilan kepada saya? Kenapa diterangkan kepada saya?
Setiap hasil pemeriksaan kehamilan akan diterangkan dengan jelas kepada puan supaya puan mengetahui tahap kesihatan puan serta bayi. Sekiranya tidak jelas puan perlu bertanya.
6. Berapa kerap saya perlu hadir ke klinik?
Secara lazimnya, jika puan tiada sebarang masalah kesihatan, puan perlu hadir ke klinik untuk pemeriksaan kehamilan seperti jadual di bawah:
~ Awal kehamilan hingga usia kandungan 27 minggu (sebulan sekali).
~ Usia kandungan 28 minggu hingga 35 minggu (2 minggu sekali).
~ Usia kandungan 36 minggu hingga bersalin (seminggu sekali).
* Jika puan mengalami masalah kesihatan semasa hamil, puan perlu hadir ke klinik dalam kadar segera.
7. Ada kesan sampingan tak kepada bayi kalau saya scan bayi saya?
Imbasan ultrasound tidak memberi sebarang kesan sampingan terhadap bayi dalam kandungan.
Tanda-tanda yang memerlukan rawatan segera di klinik / hospital
Apa tanda-tanda yang memerlukan saya bertindak segera semasa hamil?
~ Demam yang tinggi.
~ Loya dan muntah yang teruk.
~ Sakit perut yang luar biasa.
~ Pucat
~ Letih lesu
~ Sesak nafas
~ Sakit kepala
~ Penglihatan kabur
~ Sakit ulu hati
~ Kaki bengkak
~ Tiada peningkatan berat badan
~ Peningkatan berat badan berlebihan
~ Pembesaran rahim tidak sepadan dengan jangkamasa kehamilan
~ Janin kurang bergerak atau tidak aktif
~ Sakit bersalin sebelum masa
~ Pecah mentuban sebelum cukup bulan
~ Darah keluar dari faraj (tumpah darah)
~ Jantung berdebar-debar
~ Tidak berdaya untuk melakukan kerja rumah biasa / rutin harian.
Kalau saya hamil luar rahim, apa tanda-tandanya?
Puan mungkin merasa sakit di bahagian perut dan pinggul serta pendarahan melalui faraj.
Hubungan Seks
Boleh ke saya lakukan hubungan seks semasa hamil?
Boleh, tiada halangan untuk melakukan hubungan seks semasa hamil. Walau bagaimanapun, sekiranya puan mengalami tumpah darah dan kedudukan uri di bawah, sila dapatkan nasihat doktor.
Pemakanan
1. Mengapa saya perlu makan secara sihat semasa hamil?
Puan perlu amalkan pemakanan sihat untuk:
~ memastikan perkembangan bayi yang sihat
~ mengekalkan kesihatan ibu
~ memenuhi keperluan nutrein dan memastikan pertambahan berat badan yang bersesuaian semasa hamil.
2. Jenis makanan macamana yang berkhasiat untuk saya?
Puan perlu mengamalkan pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan semasa hamil.
3. Berapa kerap saya perlu makan dalam sehari dan jumlah makanan yang perlu diambil?
Puan perlu makan pada setiap kali waktu dengan mengambil makanan yang seimbang.
4. Ada tak makanan yang perlu saya makan lebih semasa hamil?
a. Pilih makanan yang mempunyai tinggi bahan nutrein seperti:
~ Kalsium (susu, keju, dadih, sayuran dedaun hijau dan produk kacang soya)
~ Vitamin A (hati, susu, telur)
~ Vitamin B Kompleks (hati, daging tanpa lemak, ikan dan susu)
~ Vitamin C (jambu, betik dan limau)
~ Asid Folik (sayuran berdaun hijau, hati, kacang)
b. Ambil makanan tambahan (jika disarankan oleh doktor atau pakar pemakanan).
5. Ada tak makanan yang perlu saya elak semasa hamil?
Puan perlu elakkan makanan seperti berikut:
~ Makanan mentah seperti sushi
~ Daging mentah atau separa mentah
~ Makanan yang tercemar dengan merkuri
~ Makanan beralkohol
~ Makanan herba
~ Minuman kafein
6. Boleh ke saya amalkan atau elakkan makanan mengikut kepercayaan adat resam?
Boleh, tetapi jangan sampai membahayakan kesihatan puan dan bayi.
Pakaian
Jenis pakaian dan kasut yang macamana sesuai untuk saya semasa hamil?
Pakaian yang longgar dan selesa amat sesuai untuk puan semasa hamil. Pastikan kasut juga selesa, elakkan kasut yang bertumit tinggi dan pastikan tapak kasut yang mencengkam.
Ubat-Ubatan
Boleh ke semua ubat saya ambil semasa hamil?
Tidak semua ubat puan boleh ambil semasa hamil. Puan perlu rujuk kepada doktor sebelum mengambil sebarang ubat.
Ada tak vitamin yang bagus untuk saya ambil semasa hamil?
Memang ada seperti:
~ asid folik
~ zat besi
~ B complex
~ vitamin C
Rehat
Perlu ke saya rehat secukupnya?
Ya, puan perlu rehat secukupnya bagi mengekalkan tahap kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.
Kebersihan Diri
Perlu ke saya jaga kebersihan diri?
Puan perlu menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan jangkitan terhadap ibu dan bayi dalam kandungan. Khususnya kebersihan di bahagian sulit.
Penjagaan Payudara
Kenapa saya perlu menjaga payudara?
Puan perlu menjaga payudara sebagai persediaan untuk menyusu bayi puan kelak.
Macamana saya nak jaga payudara?
Cara terbaik untuk menjaga ialah mencuci puting payudara dengan air bersih dan memakai coli yang sesuai dan selesa.
Penjagaan Emosi
Kenapa saya perlu jaga emosi saya?
Ini betujuan supaya tidak menjejaskan kesihatan diri puan dan bayi.
Macamana saya nak jaga emosi saya semasa hamil?
Puan perlu sentiasa berfikiran positif dan banyak membaca. Bagi orang Islam, tunaikan solat lima waktu dan banyakkan berdoa.
(P/S: Semoga sy & anak diberikan kesihatan yang baik. Aminn.. )
eh u da pregnant? Alhamdulillah... tahniah dear
ReplyDeleteyeah... its about 5weeks...
ReplyDeleteTQ :)