Anda telah memastikan bahawa anak anda sihat, disayangi dan mempunyai
banyak aktiviti-aktiviti untuk mengisi masanya setiap hari. Tetapi
adakah masa-masanya anda bertanya diri anda sama ada anak anda itu
gembira?
Bagaimana saya boleh mengetahui sama ada anak saya gembira?
Dalam
tempoh enam bulan pertama kehidupannya, bayi anda akan menjadi sangat
mahir tentang memberitahu anda jika ada sesuatu yang membuatnya gembira
atau mengganggunya. Mukanya akan bersinar dengan
senyuman
ketika anda masuk ke dalam bilik dan dia akan meraung jika seseorang
mengambil mainan kegemarannya. Dia akan beralih daripada bersenyum
kepada
menangis, dan kembali semula dengan cepat secara tidak dapat dijangkakan.
Cuba jangan bimbang sangat jika bayi anda kelihatan seperti dia
menghabiskan lebih banyak masa meraung daripada ketawa ceria. Ini
disebabkan bayi pada peringkat awal lebih cenderung mengalami kesusahan
daripada kebahagiaan. Tangisan dan ekspresi muka sedih adalah satu
sahaja cara bayi dapat berkomunikasi dengan anda. Ini memberitahu anda
yang lampin bayi anda itu sudah kotor, dia lapar atau dalam kesakitan.
Apabila anak anda membesar, dia akan dapat menyampaikan perasaannya dengan lebih mudah dengan
kata-kata dan bahasa gerak-geri badan.
Bagaimana saya boleh pastikan dia berseronok?
Walaupun
mainan gantungan yang berwarna-warni untuk katil bayi dan gimnasium
bayi boleh mendatangkan senyuman baginya, apa yang membuat bayi anda
gembira adalah lebih mudah: anda sendiri. Jalinkan hubungan dengan bayi
anda dengan
permainan dan bermain-main, sebab jika anda seronok, dia juga seronok!
Bermain juga satu cara yang baik untuk anak anda membangunkan kemahiran
yang akan menjadi penting untuk kebahagiaannya pada masa depan. Apabila
dia membesar,
permainan yang tidak berstruktur
akan membantunya menentukan apakah kehidupan yang dia mahukan di zaman
dewasa. Mainan membina rumah dengan blok, bereksperimen di dapur mainan
dia dan menghantuk-hantuk kuali dengan sudu semuanya akan dapat
menunjukkannya ke arah kerjayanya di masa depan (atau sebaliknya!).
Bagaimana saya boleh membantu dia mengekspresikan perasaan?
Untuk
bayi muda, satu-satunya cara yang mereka tahu bagaimana untuk
mengekspresikan perasaan ialah melalui tangisan. Tetapi apabila anak
anda menjadi lebih besar, anda boleh menggalakkan dia untuk
mengenalpasti perasaan dan menyatakannya kepada anda dengan kata-kata.
Anak-anak kecil dapat menangkap perkataan-perkataan berhubung
emosi-emosi seperti "bahagia" atau "marah" dengan cepat.
Pada masa dia masih belum boleh bercakap, anda sudah boleh menunjukkan
gambar-gambar ekspresi muka dan bertanya dia yang mana satu menunjukkan
apa yang dirasainya.
Ingatlah bahawa adalah perkara biasa untuk anak anda untuk menjadi terlalu sensitif,
tak mahu berenggang
atau kadangkala gementar. Ini mungkin disebabkan rutinnya telah
bertukar atau dia kecewa dengan sesuatu. Ini akan lebih kerap berlaku
apabila dia lebih tua. Apabila anak anda merajuk di sudut bilik semasa
majlis hari jadi seseorang atau menangis sebab dia tidak dijemput ke
sesuatu majlis, jangan menafikan perasaannya itu. Dia perlu tahu bahawa
adalah OKEY jika berasa kurang gembira di satu-satu masa, itu adalah
sebahagian daripada kehidupan.
Bagaimana saya boleh melindungi anak saya semasa dia kurang gembira?
Sepanjang tahun pertama bayi, dia sedang belajar banyak perkara: bagaimana nak
duduk,
merangkak,
genggam objek,
berjalan dan
bercakap. Kemahiran-kemahiran ini mengambil masa untuk dibina.
Adalah penting bagi anda membiarkannya melakukan kesilapan dalam tempoh
itu, sementara menggalakkannya untuk terus mencuba. Dia akan berasa
bermacam-macam perasaan, daripada kekecewaan dan juga pada mulanya,
kemarahan, terus kepada perasaan kejayaan dan keyakinan apabila dia
telah pandai melakukan semua ini dengan baik.
Membenarkan anak anda berasa semua emosi ini akan membantu dia membina
daya ketahanan dalam dirinya yang akan membawa kepada kebahagiaan
apabila dia meningkat usia lebih tua.
Bagaimana saya boleh membantu anak membesar dan berkembang?
Orang-orang
yang paling gembira selalunya adalah orang-orang yang telah menguasai
sesuatu kemahiran. Adalah mengambil masa dan memerlukan usaha untuk
menjadi benar-benar mahir dalam sesuatu. Oleh itu, apabila anak anda
berjaya
menulis
namanya buat kali pertama, berilah dia banyak pujian. Dia boleh
menikmati kejayaannya sebab dia telah bekerja keras untuk
mencapaikannya. Beliau juga akan berasa bangga apabila ada orang lain
yang mengheboh-hebohkan pencapaiannya.
Apa yang lebih penting, dia akan memahami bahawa dia mempunyai sedikit
kawalan atas hidupnya. Jika dia memberikan fokus kepada sesuatu, sudah
tentu dia akan berjaya. Ini akan terus menjadi faktor penting dalam
mencapai kebahagiaan apabila dia dewasa kelak.
Adakah kesihatan beliau mempunyai kesan ke atas kebahagiaan?
Banyak
tidur,
senaman
dan diet yang sihat adalah penting untuk kesejahteraan bagi semua
orang, terutama sekali mereka yang masih sedang membesar. Memberi si
kecil banyak ruang untuk melepaskan tenaganya akan membantu dia menjadi
ceria. Biarkan dia menendang kaki ke atas, merangkak ke arah bola yang
tercinta, atau berlari-lari keliling taman.
Beri perhatian juga kepada keperluan anak anda untuk ada struktur dalam
hidupnya. Walaupun sesetengah bayi dan kanak-kanak mempunyai personaliti
senang, kebanyakan mereka lebih cepat berkembang jika mempunyai satu
rutin yang tepat.
Adakah anak saya dipengaruhi oleh mud saya?
Ya.
Sama ada baik atau buruk, kanak-kanak boleh merasakan mud ibu bapa
mereka. Malah, bayi muda meniru gaya emosi ibu bapa mereka. Apabila anda
senyum, bayi anda turut senyum dan otaknya "diaturkan" untuk bersenyum.
Di masa keluarga masih muda, adalah perkara biasa untuk anda berasa
letih dan cemas. Tetapi jika anda selalu mendapati diri anda sentiasa tidak mempu menguruskan hidup atau
murung, sudah tiba masanya untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimana saya boleh mengajar dia untuk membuat orang lain gembira?
Seawal usia
10 bulan,
bayi anda boleh diajar betapa baiknya jika dia membantu orang lain.
Jika anda memberinya secubit pisang, biarkan dia juga menyuapkan anda
secubit. Tunjukkan dia betapa gembira anda merasakan dengan perbuatannya
itu. Jika anda menyikat rambutnya, biarkan dia menyikat rambut anda
juga. Detik-detik kecil seperti ini boleh membuatkannya suka
berkongsi dan prihatin terhadap orang lain.
Apabila bayi menjadi anak kecil, memberikannya kerja-kerja yang mudah,
seperti meletakkan pakaian kotor ke dalam bakul kain kotor, boleh
membantu dia merasakan bahawa dia membuat sumbangan yang berguna.
(Sumber: babycenter.com)